10 Fakta Tentang Kopi Yang Perlu Anda Tahu
Di negara-negara beriklim sejuk, meminum kopi menjadi amalan lazim bagi penduduknya. Di Finland misalnya, aktiviti minum kopi setiap hari dilakukan sekerap 3 jam sekali di waktu pejabat. Di Kanada, kopi menjadi satu minuman penting dalam rutin harian warganya. Tidak mengira tempat dan waktu, di mana-mana sahaja kelihatan orang membawa cawan kopi atau minuman seumpamanya.
Tidak hairanlah, kedai-kedai kopi pelbagai jenama muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia. Dan kopi seolah-olah menjadi fenomena baru warga dunia zaman kini. Sebut sahaja Starbucks, Second Cup, Tim Horton, Gloria Jeans Cafe, Kopitiam, Warung Kopi Pak Ali atau Kedai Kopi Ah Beng semuanya menjual pelbagai jenis minuman berkafein ini. Catatan pendek ini mengajak pembaca menyemak fakta-fakta tentang kopi.
1. Kopi ditemui oleh kambing
Kira-kira seribu tahun dahulu di pergunungan afrika, sekawan kambing terjaga malam setelah memakan biji kopi merah. Pengembala kambing mendapati kambing ternakannya memakan biji dan daun kopi dengan kuantiti yang banyak. Mulai dari saat itu, manusia mula belajar meminum kopi.
2. Kopi yang baik bergantung pada kaedah memanggang dan penghancurannya
Jika ingin menikmati rasa kopi sebenar yang enak, ia bergantung pada kaedah penyediaanya iaitu memanggang dan mengisarnya. Semasa memanggang, minyak dari biji kopi akan keluar dan minyak ini akan menambah rasa kopi. Kandungan kafein di dalam kopi berasal dari minyak yang terbit dari hasil pemanggangan biji kopi ini dan jumlahnya bergantung berapa lama ia berada di bahagian paling dasar. Kopi biasa mempunyai kandungan kafein yang lebih tinggi berbanding espresso dan cappucino. Pemanggangan yang lama juga akan menghasilkan kafein yang berlebihan.
3. Kafein bukanlah penyebab rasa pahit kopi
Ramai orang yang beranggapan, semakin pahit rasa kopi, maka makin tinggilah kafeinnya. Hakikatnya tidak!
4. Pengurangan kafein menggunakan bahan kimia
Untuk mengurangi kandungan kafein dalam kopi, sejenis kimia iaitu methylene chloride digunakan.
5. Pengurangan kafein (nyahkafein / decaffein) di dalam kopi tidak menyebabkan kafein hilang 100%
Penyingkiran kafein atau decaffein atau bebas kafein bukanlah menghilangkan 100% kafein kopi. Ia masih kekal di dalam kopi dengan kuantiti yang lebih sedikit. Dengan bahasa mudah, meminum 10 cawan kopi yang dinyahkafein, sama seperti meminum 2 cawan kopi berkafein.
6. Kopi boleh menyegarkan dan berupaya mengurangi rasa mengantuk
Fakta ini mungkin telah diketahui ramai. Meminum kopi berupaya membuatkan kita menahan diri dari mengantuk dan tertidur terutamanya di waktu malam. Bagi penggemar kopi yang tidak bertujuan untuk berjaga malam, sebaiknya minumlah kopi 6 jam lebih awal untuk tidak mengganggu jadual tidur.
7. Kafein boleh mengurangi rasa sakit
Menurut satu kajian, meminum kopi dalam kuantiti yang sederhana mampu mengurangi rasa sakit dan lenguh selepas bersukan. Ia lebih berkesan kepada mereka yang bukan peminum kopi tegar.
8. Kafein boleh meningkatkan rasa ghairah seks
Kajian yang dijalankan ke atas tikus di makmal membuktikan fakta ini. Dan sekali lagi, ia berkesan untuk mereka yang bukan peminat kopi tegar.
9. Kopi sebenarnya baik untuk kesihatan
Sebenarnya kopi memiliki agen antioksidan dan ia baik untuk kesihatan sekiranya tidak keterlaluan mengambilnya.
10. Kafein boleh membunuh
Benar sekiranya seseorang mengambil kopi dengan kadar yang tinggi melebihi sehingga 80-100 cawan sehari. Jangan mencubanya!
Sumber : Mohd Faizal Aziz Editor Majalahsains.com
http://blog.hpa-online.net/
Hanya 28 (1.4%) Daripada 2000 Hotel Ada Sijil Halal
Dalam keghairahan umat Islam berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan ini ramai yang tidak sedar bahawa hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara diiktiraf sebagai halal.
Malah seperti satu budaya, apabila tiba bulan Ramadan hotel-hotel tersebut akan berlumba-lumba menawarkan pakej berbuka puasa walaupun tidak mempunyai sijil halal untuk dapur utama mereka.
Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal.
Angka itu pastinya menimbulkan kemusykilan kerana pada bulan Ramadan ini hotel-hotel yang tidak mendapat pengiktirafan halal turut menganjurkan majlis berbuka puasa untuk umat Islam.
Tindakan mereka itu tentunya mengelirukan umat Islam terutama jika makanan yang disediakan tidak halal atau tidak menepati keperluan syariat Islam.
Sehubungan itu, Jakim menasihatkan umat Islam lebih berwaspada mengenai soal halal di sesebuah hotel bagi memastikan mereka tidak makan makanan yang diharamkan oleh agama.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, amat penting bagi umat Islam untuk memantau dan memastikan mereka hanya menjamu selera di hotel yang mempunyai persijilan halal sah bagi dapur utama mereka.
“Ketika Ramadan, seperti satu budaya, kebanyakan umat Islam gemar berbuka di hotel. Jadi diharap hotel yang dipilih itu menghidangkan makanan halal 100 peratus.
“Begitu juga dengan pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel, kami berharap penganjur lebih peka untuk memastikan tempat itu ada sijil halal Jakim atau jabatan agama Islam di negeri lain,” katanya.
Ini kerana, kata beliau, Ramadan dan soal berbuka puasa adalah ibadah bagi umat Islam.
“Janganlah nanti seharian berpuasa tetapi ia menjadi sia-sia hanya kerana hidangan yang dimakan tidak halal.
“Dalam hal ini, umat Islam mesti memainkan peranan supaya mereka hanya makan hidangan yang halal dan berkat,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PPIM kecewa dengan sikap sebilangan umat Islam yang kurang peka dengan soal halal apabila menjamu selera di hotel.
“Sejak dulu lagi, PPIM menyedari ada umat Islam membelakangkan soal halal atau haram hidangan yang dimakan di hotel dengan tidak memastikan terlebih dahulu sama ada ia memiliki sijil halal sah atau sebaliknya,” katanya.
Noor Nirwandy menambah, apabila memilih untuk berbuka di hotel, umat Islam bukan sahaja perlu memikirkan soal halal makanan tetapi juga kesempurnaan tandas dan kelengkapan bilik solat.
Menurutnya, ada hotel termasuk yang bertaraf lima bintang tidak dilengkapi bilik solat dan tandas tanpa paip yang seolah-olah menunjukkan pengurusannya tidak mementingkan keperluan umat Islam.
Sumber : Utusan Online
http://blog.hpa-online.net/
Separuh Masa Kedua Piala Taqwa!
"Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa" [al-Baqarah 2: 183]
Sahabat,
Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.
Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?
Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata "rakan syaitan jin dan manusia" tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya', meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya'.
Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.
Tambah-tambah dekat nak Raya, penyokong pasukan nafsu semakin bersesak-sesak masuk ke gelanggang. Pekiknya makin menggerunkan. Jangan pula kalian lemah semangat kerananya. Kita pasukan Tuan rumah, harus menang sekurang-kurangnya di gelanggang sendiri.
Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, hubaya hubaya… kamu di ambang kekalahan. Piala Taqwa itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.
Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?
"Jibril datang kepadaku dan berkata, `Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! " (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)
ABU SAIF @ www.saifulislam. com68000 AMPANG