Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Seorang lelaki berkata : Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.
(al-Bukhari dan Muslim)
http://www.islam.gov.my/e-hadith/pahalanya-tetap-ada
Ibrah daripada kisah tersebut adalah kesilapan dalam memberi terkadang menjadi asbab Allah ingin mendidik si penerima. Sesungguhnya, sedekah itu bukan sahaja di nilai oleh Allah, malah menjadi penyebab untuk seseorang menerima didikan langsung daripadaNya. Percayalah dalam memberi kebaikan tidak akan berlaku kesilapan, yang tersalah hanya hati apabila tidak ikhlas. Sekiranya keikhlasan beserta dalam pemberian untuk meraih reda, rahmat dan keampunan daripada Allah SWT nescaya kesilapan memberi, tersalah sasaran tidak akan melahirkan sekelumit sesal kerana tahu dan faham itu cara Allah mendidik hamba-hambaNya melalui hamba-hambaNya yang lain.
Namun begitu, sikap berhati-hati dan teliti perlu ada memandangkan dunia hari ini pelbagai pihak bijak mengambil kesempatan contohnya menerusi sindiket terancang yang bergerak bukan sekadar secara individu malah berkumpulan. Oleh itu, jika telah diselidik dengan ilmu dan informasi yang diperolehi tetapi masih juga tertipu, percayalah pemberian itu telah diterima oleh Allah SWT. Sedekah yang diberikan dengan niat yang baik akan diterima Allah walaupun tidak jatuh kepada orang yang selayaknya menerima kerana bukan hasil yang dilihat tetapi usaha dan amalan untuk melakukan itu yang menjadi perkiraan sepertimana firmanNya “dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).” (Surah An-Najm, ayat 40).
http://ikimfm.my/keengganan-dalam-memberi/