kertas kerja ringkas non-muslim masuk masjid

PENDAHULUAN

Ini ialah satu kertas kerja ringkas berkenaan hukum bukan Islam masuk ke dalam masjid.

LATARBELAKANG ISU

Isu ini timbul apabila seorang Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan pada 22 Ogos lalu. Lalu pada 26 Ogos JAIS memberikan amaran untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang berkaitan . Bagaimanapun, beliau pada 28 Ogos telah memberikan komentar terhadap isu ini. Beliau mengatakan
Pada hari Ahad 22hb Ogos, saya sebagai ahli parlimen Serdang telah mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang bertujuan untuk menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan untuk memperbaiki pagar surau, dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.
Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.
Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.
Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.
Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.
Akhir sekali, saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan lagi bahawasanya individu yang sama telah melakukan aktiviti senamrobik di dalam kawasan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong
Beberapa persoalan yang timbul ialah:
1. Adakah bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid?
2. Adakah bukan Islam boleh masuk ke kawasan masjid?

TAKRIF MASJID

Penulis tidak berhajat untuk memberikan pelbagai ta’rifan dari ramai ulama’ samada sudut bahasa dan istilah yang akan menjadikan perbahasan ini terlalu mendalam.
Dari sudut perbendaharaan Bahasa Melayu, masjid diberikan ta’rifan berikut:
1. Rumah ibadat orang-orang Islam - Kamus Pelajar Edisi Kedua
2. Bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.- Kamus Dewan Edisi Empat
Manakala dalam bidang perundangan agama negeri-negeri memperuntukan seperti berikut:
Pulau Pinang
“Masjid” ertinya satu bangunan yang digunakan bagi maksud sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan lain yang berkaitan yang diharuskan atau dibenarkan oleh agama Islam dan termasuklah surau yang disenaraikan dalam rekod Majlis;
Manakala masjid dari sudut syara’ pula ialah tempat yang digunakan secara berulang-ulang untuk menunaikan solat fardhu
Dari itu, tindakan ahli parlimen Serdang untuk kali kedua ini tidak termasuk dalam isu ini kerana beliau hanya berada di kawasan luar masjid. Adapun tindakan kali pertama beliau adalah berkait terus dengan kertas kerja ini.

PANDANGAN GOLONGAN YANG MEMBENARKAN

1. Fatwa Sheikh Azhar Sheikh ‘Athiyyah Saqr pada Mei 1997
2. Lajnah Daaimah Lil Buhuth al-‘Ilmiah wa al-Ifta’ ( Diketuai Sheikh Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baaz)
3. Majlis Fatwa Kebangsaan
4. Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darul Salam
5. Sheikh Mohd Soleh Munjid
6. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
7. Datuk Harun Taib Ketua Dewan Ulama Pas
8. Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Negeri Perlis

PANDANGAN GOLONGAN YANG TIDAK MEMBENARKAN

1. Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
HUJAH GOLONGAN YANG MEMBENARKAN
Imam Bukhari meletakkan satu bab yang khas berkenaan dengan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid iaitu pada bab berkenaan masjid pada sub topik ke 48. Iaitu:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال بعث النبي صلى الله عليه وسلم خيلا قبل نجد فجاءت برجل من بني حنيفة يقال له ثمامة بن أثال فربطوه بسارية من سواري المسجد
فخرج إليه النبي صلى الله عليه و سلم فقال ( ما عندك يا ثمامة ) . فقال عندي خير يا محمد إن تقتلني تقتل ذا دم وإن تنعم تنعم على شاكر وإن كنت تريد المال فسل منه ما شئت. فترك حتى كان الغد,
فقال ( ما عندك يا ثمامة ) . فقال ما قلت لك إن تنعم تنعم على شاكر فتركه حتى كان بعد الغد,
فقال ما عندك يا ثمامة فقال عندي ما قلت لك فقال ( أطلقوا ثمامة ).
فانطلق إلى نخل قريب من المسجد فاغتسل ثم دخل المسجد فقال أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله يا محمد والله ما كان على الأرض وجه أبغض إلي من وجهك فقد أصبح وجهك أحب الوجوه إلي والله ما كان من دين أبغض إلي من دينك فأصبح دينك أحب دين إلي والله ما كان من بلد أبغض إلي من بلدك فأصبح بلدك أحب البلاد إلي.....

Abu Hurairah meriwayatkan bahawasanya Nabi s.a.w telah menghantar satu ketumbukan tentera berkuda menuju Najd dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di salah satu tiang masjid Nabi s.a.w.
Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”
Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.
Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi SAW bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.
Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.
Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi SAW bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.
Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.
Lalu Nabi SAW memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.
Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.
Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, dahulu tiada wajah di atas muka bumi yang lebih aku benci daripada wajah engkau, sekarang engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi...”
Menurut Ibn Athir, Thumamah ketika itu masih belum memeluk agama Islam.
Imam Muslim menyebutkan keharusan untuk membawa masuk bukan Islam ke dalam masjid. Dalam Mazhab Syafi’e harus dengan keizinan daripada orang Islam (iaitu situasi sekarang lebih selari dengan maksud ahli jawatankuasa masjid-pen) samada ahli kitab atau selainnya.
Umar bin Abdul Aziz , Qatadah dan Malik mengatakan tidak boleh. Imam Abu Hanifah mengatakan hanya ahli kitab sahaja yang boleh masuk ke dalam masjid.


HUJAH GOLONGAN YANG TIDAK MEMBENARKAN

Hujah pertama
Golongan ini berdalilkan kepada firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 28:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Jawapan:
Ibn Kathir mengatakan maksud إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ ialah dari sudut pegangan mereka. Imam Alusi juga berpandangan sedemikian tetapi Ibn ‘Abbas mengatakan fizikal mereka adalah najis. . Sayed Qutb sependapat dengan Ibn Kathir dan al-Alusi dengan mengatakan ia bermaksud najis ma’nawi

Hujah kedua
Orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dalam masjid dan surau apatah lagi di ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.
Jawapan:
Imam az-Zarkasyi menyebut dalam kitabnya I’lam as-Saajid Bi Ahkam al-Masaajid
Harus bagi bukan Islam masuk ke masjid dan menanti atau berdiam diri di dalamnya walaupun dalam keadaan mereka berjunub. Ini berdalilkan kepada kaum musyrikin di zaman Nabi SAW masuk ke dalam Masjid Nabawi dan tanpa keraguan lagi pada mereka orang yang berjunub.
Mengqiaskan bukan Islam dengan wanita haidh penulis kirakan tidak tepat kerana:
1. Illah (sebab) larangan wanita masuk ke masjid (bagi yang berpegang kepada pandangan tersebut. Wujudnya larangan tersebut bukan hanya sekadar ta’abudi, bahkan kerana sebab tertentu) adalah kerana kotoran yang dikhuatiri mengotorkan masjid tidak sama dengan bukan Islam. Sebagaimana disebut oleh jumhur ulama’ bahawasanya ia bukan bermaksud najis zahiriah tetapi berbentuk ma’nawi. Tetapi wanita yang yang haidh, ia bermaksud najis zahiriah.
2. Adapun berkenaan junub (Sekiranya berpegang kepada pandangan bukan Islam dikira sebagai berjunub), ia telah ditakhsiskan keharusannya oleh perbuatan nabi SAW yang membawa masuk Thumamah bin Uthal al-Hanafi ke dalam Masjid Nabawi.

Hujjah ketiga
Orang musyrikin adalah dikira sebagai najis zahiriah. Ini berdalilkan kepada hadis Nabi SAW:
عن هشام بن عروة عن أبيه عن جده قال : « استقبل رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام فناوله يده فأبى أن يتناولها فقال : يا جبريل ما منعك أن تأخذ بيدي؟ فقال : إنك أخذت بيد يهودي فكرهت أن تمس يدي يداً قد مستها يد كافر فدعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بماء فتوضأ فناوله يده فتناولها»
Daripada Hisham bin ‘Urwah, daripada ayahnya daripada datuknya meriwayatkan Baginda SAW berjumpa dengan Jibril lalu menghulurkan tangan tetapi Jibril menolak untuk bersalaman dengan Nabi SAW. Nabi SA bertanya “Wahai Jibril, apa yang menghalangi kamu daripada bersalaman dengan aku?” Lalu Jibril menjawab “ Sesungguhnya engkau telah berjabat tangan dengan yahudi dan aku tidak suka bersalaman dengan tangan yang sudah bersentuhan dengan tangan orang kafir” Nabi SAW meminta untuk disediakan air lalu Baginda SAW berwudhu’ lalu mereka bersalaman”
Jawapan
1. Status hadis ini Maudhu’:
2. Jalan periwayatan hadis di atas diambil oleh Hisham dari jalan (thariq) Abu Hafs ‘Umar bin Abi ‘Umar al-‘Abdiy:
a. Berikut adalah pandangan Ulama’ tentang beliau:
i. Sheikh Albani: Disepakati kelemahannya (dha’ifnya)
ii. Al-Haithami: terlibat (dengan penipuan hadis-pen)
iii. ‘Amru bin ‘Ali al-Fallas: beliau adalah dajjal.
iv. Saaji: periwayatannya banyak baathil dan munkar.
v. Adz-Dzahabi: Beliau mempunyai periwayatan yang baatil.

Hujjah keempat
Hasan al-Basri ada menyebutkan
قال الحسن البصري : من صافح مشركاً فليتوضأ.
Hasan al-Basri berkata : Barangsiapa yang bersalaman dengan orang musyrik, maka hendaklah dia berwudhu’

Manakala Ibn ‘Abbas pula meriwayatkan daripada Rasulullah SAW
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم " من صافح مشركا فليتوضأ أو ليغسل كفيه"
Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan Baginda SAW bersabda “Barangsiapa yang bersalaman dengan orang musyrik, maka hendaklah dia berwudhu atau membasuh kedua tangannya’

Jawapan:
1. Penulis tidak menemui status hadis di atas.
2. Untuk athar at-tabi’en Hasan al-Basri, ia adalah menurut pandangannya dan bukan hadis kerana Hasan al-Basri tidak pernah berjumpa dengan Nabi SAW sewaktu hayat Baginda SAW. Adapun athar daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas boleh diihtimalkan hadis kerana Ibn ‘Abbas adalah sahabat, cuma penulis tidak menjumpai statusnya.
3. Penulis tidak berhajat untuk membincangkan tentang adakah pandangan para sahabat itu adalah wajib diikuti ataupun tidak. Ini kerana ia akan melibatkan perbahasan usul Fiqh yang panjang dan rumit untuk difahami. Dari itu, penulis mencadangkan kepada para pembaca yang mampu untuk memahami bahasa arab membaca buku-buku di bawah.
a. قول الصحابي عند الأصوليين لفضيلة الشيخ الدكتور علي جمعة
b. البحر المحيط في أصول الفقه للزمخشري
Secara ringkas penulis katakan bukan semua perkataan sahabat (dan tabi’en) itu wajib diikuti tetapi harus untuk dijadikan hujjah bagi sandaran hukum.

Hujjah kelima
Firman Allah Ta’ala dalam Surah at-Taubah ayat 17:

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
Allah berfirman, maksudnya: "Tidaklah boleh orang musyrik itu memakmurkan masjid Allah sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Inilah orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal dalam neraka."

Jawapan:
Yang dimaksudkan dengan مَسَاجِدَ اللَّهِ ialah: Masjid al-Haram. Inilah pandangan al-Imam az-Zamkhsyari dan Ibn Kathir
PANDANGAN YANG LEBIH TEPAT
Penulis berpandangan bukan Islam tidak wajar dihalang (patut diberikan keizinan) untuk masuk ke dalam masjid dengan syarat-syarat berikut:
• Mendapat keizinan daripada ahli jawatankuasa masjid
• Berpakaian sopan
Bahkan penulis mencadangkan agar mereka diajak dan didekatkan dengan masjid agar dekat hati mereka untuk memahami dan memeluk agama Islam.
TENTANG ISU INI
Akhbar Utusan membangkitkan beberapa isu di bawah:
1. Teo Nie Ching masuk di dalam masjid.
Penulis mengirakan ia sudah selesai dengan perbahasan ringkas seperti di atas. Ia juga barangkali boleh dikuatkan lagi dengan kenyataan Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Ia hanyalah masalah teknikal pentadbiran dan adab-adab sahaja, bukan masalah berkenaan hukum keharusannya. Beliau mengatakan
” Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau.
“Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.
” Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di sini hari ini.
2. Teo Nie Ching melakukan aktiviti di kawasan masjid.
Penulis mengirakan persoalan ini terjawab dengan jawapan yang diberikan oleh Pengarah JAIS sendiri. Beliau mengatakan
Dalam pada itu, Mohammed Khusrin menyatakan orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan.

NASIHAT

1. Sewajarnya kepada beliau dan semua saudara-saudara bukan Islam yang lain menghormati status kawasan masjid. Tidak wajarlah seseorang itu memakai pakaian yang kurang sopan samada di dalam masjid atau sekitar kawasannya. Islam menghormati hak berpakaian agama masing-masing, begitu juga kepada saudara-saudara bukan Islam sewajarnyalah memakai pakaian yang sopan sebagai menghormati hak saudaranya.
2. Menyeru kepada semua pihak terutamanya pihak yang membangkitkan isu ini agar menyerahkan urusan hukum hakam ini kepada orang yang berhak dan selayaknya. Jangan menjadikan ilmu tentang hukum hakam Islam yang penuh dengan disiplin ini sebagai ruang menonjolkan kejahilan dan kebodohan masing-masing dalam agama.
3. Menyarankan kepada semua institusi agama seperti masjid, persatuan-persatuan agama dan majlis-majlis agama agar mengadakan seminar ataupun forum separuh hari berkenaan isu di atas. Pembentangan haruslah bersandarkan kepada hujah ilmiah bukan semangat ta’asub kepartian.
4. Kerajaan Malaysia melalui JAKIM telahpun menggerakkan kesemua jentera yang untuk menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan . Cuma diharapkan kepada pihak yang terbabit janganlah kerana terlalu obses mengejar matlamat tersebut, fungsi sebenar masjid ditinggalkan.Dari itu, janganlah kerana mencari keuntungan politik yang dangkal seperti ini, Islam dilihat kolot.

Mohamad Ridhauddin bin Mohd Salleh
4.04 pagi
31 Disember 2010-12-31
Perpustakaan rumah

SEMINAR BALDATUN TOYIBAH (II): MODEL UTHMANIYYAH

SEMINAR BALDATUN TOYIBAH (II): MODEL UTHMANIYYAH
TARIKH: 29 JANUARI 2011
TEMPAT: DEWAN KULIAH UTAMA, AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA

KENAPA SEMINAR INI DIADAKAN?

Sebagai memperingati 100 tahun kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah.

Kerajaan Islam Uthmaniyyah merupakan kekhalifahan Islam yang terakhir sebelum ia dijatuhkan oleh puak sekular Kemalis yang dikatakan didalangi oleh Yahudi dan Barat. Kelangsungan kerajaan ini selama tahun meliputi tiga benua utama dunia, Asia, Afrika dan Eropah. Apa yang menarik, kejatuhan kota Constantinople pernah diriwayatkan dalam satu hadis yang dicatatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dengan mengatakan raja yang menawannya adalah raja yang terbaik dan ternyata raja itu daripada dinasti Uthmaniyyah.

Kerajaan Islam Uthmaniyyah seolah-olah berada dalam dua zaman, zaman silam dan zaman moden. Tentu banyak khazanah tinggalan kerajaan besar ini yang boleh menjadi teladan dan sempadan kepada kita dalam menggagaskan sebuah negara idaman di zaman pasca-modernisme ini.

APAKAH OBJEKTIF SEMINAR INI?

Mempelajari, menilai, menganalisis dan meneladani Tamadun Islam Uthmaniyyah dari aspek;
1. Bagaimanakah para Khalifah kerajaan Uthmaniyyah menerapkan pemerintahan Islam mereka yang meliputi tiga benua yang salah satunya mencetuskan pemodenan masa kini ?
2. Bagaimanakah corak kehidupan masyarakat majmuk mereka boleh melestarikan pemerintahan Islam selama ratusan tahun ?
3. Bagaimanakah dinamika fiqh dan kodifikasi undang-undang terkembang di empayar Uthmaniyyah serta kesesuaian paradigmanya dalam merekonstruksi idea-idea fiqh dan undang-undang di negara kita khasnya.
4. Apa saja dari tamadun ini yang boleh kita ikuti demi merealisasikan impian sebuah baldatun tayyibah – the good governance yang diimpikan oleh rakyat Malaysia.
5. Apa teladan yang boleh dipelajari daripada kesilapan dan kejatuhan tamadun Islam Uthmaniyyah agar menjadi sempadan yang berguna untuk kita.

Dan seterusnya mendapatkan kesimpulan dan pengusulan bagi merealisasikan negara maju menurut perspektif Islam.

BILAKAH SEMINAR INI BERLANGSUNG?

Seminar ini akan berlangsung pada Sabtu, 29 Januari 2011 bermula pendaftaran dari jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.30 petang

DIMANAKAH SEMINAR INI DIADAKAN?

Seminar ini akan diadakan di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

SIAPAKAH YANG BOLEH MENYERTAI?

Seminar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat, para ulama’, intelektual, pegawai-pegawai agama, penyelidikan, pertubuhan-pertubuhan gerakan Islam dan badan-badan NGO, agensi-agensi kerajaan, wakil institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan-badan kebajikan dan lain-lain pertubuhan serta orang perseorangan.

SIAPAKAH PENGANJUR SEMINAR INI?

Seminar ini dianjurkan oleh Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (PUMSel) dengan kerjasama Jabatan Sejarah dan tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

SIAPAKAH PEMBENTANG KERTAS KERJA YANG DIJEMPUT?

Kertas 1: Sejarah Ringkas Kebangkitan dan Kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyyah
Oleh : Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor
Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Kertas 2: Perkembangan Fiqh dan Usul di Empayar Uthmaniyyah.
Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Karim Ali
Ketua Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Kertas 3: Kodifikasi Undang-Undang dan Sistem Keadilan Uthmaniyyah
Oleh: Prof. Madya Dr Saim Kayadibi
Fakulti Ekonomi & Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Kertas 4: Sisi Gelap Kerajaan Uthmaniyyah : Satu Pengajaran Berharga
Oleh: Prof. Dr. Fadhulah Jamil
Universiti Sains Malaysia (USM)

Kertas 5: Kewarganegaraan Dalam Sistem Pemerintahan Uthmaniyyah: Satu Kajian dalam Konteks Kewarganegaraan Negara Islam Moden.
Oleh: Prof. Madya Dr Ahmad Zaki Ibrahim
Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Kertas 6: Aplikasi Sistem Ekonomi Islam Dalam Tamadun Islam Uthmaniyyah.
Oleh: Dr. Amir bin Shaharuddin
Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Kertas 7: Tamadaun Islam Uthmaniyyah : Aspek Kesenian dan Budaya Islami
Oleh: Dr. Eeman Muhammad Abbas
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Kertas 8: Kerajaan Islam Uthmaniyyah dan Hubungan Antarabangsa
Oleh: Prof. Madya Dr. Kamaruzaman Yusoff Pusat Pengajian Sejarah, Politik & Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

BERAPAKAH YURAN PENYERTAAN?

Yuran Penyertaan:
Organisasi / Agensi / Pertubuhan : RM150.00
Individu / Perseorangan : RM100.00
Pelajar / Ahli PUM : RM 50.00

BAGAIMANA UNTUK MENDAFTARKAN PENYERTAAN?

Untuk penyertaan seminar, sila buat pendaftaran sebelum atau pada 26 Januari 2011 dengan menghubungi:

Sdra. Azmi : 013-384 0710
En Nizam : 012-291 1335
Pejabat : 03-5512 4300 / 03-5511 4301
Faks &

SEMINAR KEBANGSAAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

SEMINAR KEBANGSAAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

“NIKAH BAWAH UMUR : PATUT ATAU TIDAK


PENGENALAN

Dalam Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa seorang lelaki layak untuk berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas. Walaubagaimanapun dalam undang-undang yang sama juga turut membenarkan lelaki atau perempuan yang di bawah umur untuk berkahwin tetapi dengan mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Oleh itu isu perkahwinan bawah umur sering menjadi kontroversi dari semasa ke semasa. Masyarakat moden menganggap pelajar sekolah rendah(7-12)) belum layak berkahwin lagi. Ada juga yang menyatakan pelajar sekolah menengah rendah (13-15) juga belum layak mengandung, melahirkan anak dan menyusukan anak. Pada peringkat ini , mereka lebih sesuai belajar di sekolah dan mengalami serta merasai keindahan dunia remaja secukupnya. Pada Mac 2010, negara digemparkan oleh berita perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan Siti Nur Zubaidah Hussin (11 tahun) dengan seorang lelaki Shamsuddin Che Derahman @ Sudin Ajaib ( 40 tahun) di Kelantan. Selanjutnya pada November 2010 , seorang perempuan bernama Siti Maryam Binti Mahmod ( 14 tahun ) telah berkahwin dengan seorang lelaki berumur 21 tahun. Perkahwinan pasangan ini telah mendapat kebenaran daripada pihak Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Namun begitu walaupun Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk meluluskan perkahwinan di bawah umur, walaubagaimanapun keputusan tersebut sering dikritik oleh orang ramai. Justeru itu sudah sampai masanya untuk semua pihak untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berhubung dengan perkara ini samada dari sudut perundangan semasa, hukum Syara’ dan juga pandangan ahli-ahli perubatan.


OBJEKTIF

· Memberi kefahaman berhubung dengan peruntukan hukum Syara’, undang-undang dan perubatan berhubung dengan perkahwinan di bawah umur.

· Memberi peluang kepada peserta untuk berbincang berhubung dengan isu perkahwinan di bawah umur

· Memberi input kepada pengamal dan pelaksana undang-undang berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkahwinan bawah umur

· Mendidik masyarakat untuk memahami situasi semasa berhubung dnegan isu perkahwinan di bawah umur

· Menambah pengetahuan para peserta berhubung dengan peruntukan undang-undang Keluarga Islam


SASARAN PESERTA

450 orang peserta dibuka dari kalangan Hakim-Hakim Syarie, Peguam Syarie Seluruh Malaysia, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Pegawai Kaunselor Kanak-Kanak Lembaga Kemajuan Penduduk Negara, Ahli-Ahli Akademik, Pegawai di agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti JAKIM, Jabatan Peguam Negara dan SENADA, badan bukan kerajaan serta pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta dan orang perseorangan.

PENDAFTARAN PENYERTAAN

Untuk penyertaan seminar, bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut :

Agensi kerajaan / swasta RM150

Pelajar IPTA / IPTS RM 50


Pembayaran boleh dibuat menerusi Pesanan Tempatan (LO) atau bank-in kepada

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia no. akaun Bank Islam Malaysia Berhad 16018010004088



TARIKH TUTUP PENYERTAAN



Sebelum atau pada 14 Januari 2011



Untuk keterangan lanjut, sila hubungi :



Sekretariat Seminar Undang-Undang Keluarga Islam Tel : 03-88864800 - 4627 / 4614

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia Faks : 03-88907770

@Jabatan Kehakiman SYariah Malaysia

Aras 4, Blok D7, Parcel D Emel : mohd_yusof@esyariah.gov.my (016-657 3255)

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan zuhdee@esyariah.gov.my (019-9595002)

60657 Putrajaya

PERMAi